Rabu, 15 September 2010

Kenapa Bangsa Jepun Hebat

Budaya adalah cerminan bangsa. Bangsa menjadi hebat kerana budaya yang diamalkannya hebat. Pincang budaya, maka tempanglah bangsa.

Dalam bukunya "Why Japan is No.1", Ezra F. Vogel merumuskan kehebatan Negara Jepun yang mencapai taraf dunia, adalah disebabkan oleh budaya yang diamalkan oleh masyarakatnya. Tidak sampai 20 tahun selepas kalah Perang Dunia Kedua,  bangsa Jepun bangkit dari kehancuran Hiroshima dan Nagasaki, menjadi kuasa besar yang seterusnya menggegar dominasi Amerika Syarikat dan Eropah. Kebangkitan Jepun dalam tempoh yang cukup singkat bukan disebabkan oleh wang, bukan juga kebetulan, tetapi kerana budaya yang diamalkan oleh mereka.

Apakah budaya yang menjadi amalan mereka itu? Pertama sekali ialah disiplin, masyarakat Jepun begitu tinggi displin mereka dari segi ketepatan masa, kepatuhan kepada ketua, kekemasan berpakaian.

Keduanya teliti. Teh Jepun yang dibancuh, adunannya dan cara menghidangnya cukup tertib sehingga posisi meletak sudu bancuhan teh turut diambilkira. Cara bekerja sangat mementingkan ketelitian sehingga kereta Jepun dikenali sebagai produk yang "zero defect", tiada sebarang kecacatan.

Ketiga ialah kaizen, pembaikan yang berterusan atau "continuous improvement". Budaya kaizen digambarkan melalui usaha dan latihan berulang - ulang sehingga mencapai tahap kesempurnaan (perfection).

Semasa zaman restorasi Meiji, Jepun mengalami proses pembukaan.   Sekiranya di zaman Samurai sebelumnya, semua yang datangnya dari Barat ditolak, tetapi setelah restorasi Meiji ini,  semua yang baik dari Barat diambil dan dipelajari, sedangkan hanya yang buruk itulah ditolak. Setelah diambil dan dipelajari, ianya di tambah nilai sehingga lahir produk baru yang lebih inovatif sifatnya. Inilah yang dikatakan oleh para sarjana bahawa Jepun ini adalah sebuah Negara yang suka meniru.

Tapi hakikatnya, sekiranya kita mahu belajar, maka seharusnya kita mengambil contoh teladan yang baik dari orang lain. Bagi orang Jepun, biarlah orang mengatakan mereka bangsa peniru sekalipun. Kalau dengan meniru, mereka dapat bangkit dari keruntuhan dan kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki, kalau dengan meniru mereka dapat mengembalikan maruah mereka semula, mengapa tidak?

Setelah produk asing itu ditiru, produk baru yang lebih inovatif dihasilkan. Kini, lihat sahaja Honda dan Toyota yang sudah mengambil alih tempat pertama dari General Motors dalam industri pemotoran. Sedangkan pada asalnya, kereta Toyota zaman dahulu pernah diibaratkan sebagai tin milo, jauh ketinggalan dari jenama kereta GM mahupun Ford.

Budaya keempat ialah budaya cintakan ilmu. Masyarakat Jepun sentiasa belajar dan belajar selaras dengan pegangan belajar sepanjang hayat. Budaya cintakan ilmu kini dikembangkan kepada penyelidikan dan pembangunan R & D.

Nilai dan budaya yang diamalkan oleh masyarakat Jepun berteraskan nilai tradisi Bushido, satu pegangan yang diwarisi dari pahlawan Samurai. Apakah budaya - budaya ini berlawanan dengan budaya kita khususnya orang Islam? Jawapannya tidak, malah orang bukan Islam yang mengamalkan nilai dan budaya Islam, merekalah yang mencapai ketinggian dunia sepertimana yang dilihat dalam contoh masyarakat Jepun.

Sebab itulah seorang ulama' iaitu almarhum Sheikh al Ghazali dalam pemerhatian beliau telah berkata "Aku lihat orang Islam hidup di negara - negara Timur Tengah, tetapi aku lihat Islam itu hidup di Jepun dan Korea."

Orang yang mengamalkan dan melaksanakan budaya dan nilai Islam seperti displin, menepati waktu, bersih, hormat kepada orang lain, kreatif, penuh dengan kemesraan, cintakan ilmu, mereka inilah yang akan berjaya. Percayalah, hanya dengan mengamalkan budaya yang hebat, kita akan menjadi hebat.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan