Jumaat, 18 Jun 2010

Panggilan Bos Untuk Ketua

BEIJING: Panggilan bos kepada ketua sebenarnya tidak menunjukkan rasa hormat kepada individu berkenaan sebaliknya ia amalan kurang sopan yang bertentangan dengan budaya Melayu.

Penasihat Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) Prof Emeritus Abdullah Hassan berkata, menggunakan panggilan bos terhadap ketua semakin meluas dan membimbangkan kini.


“Panggilan bos adalah perkataan main-main yang sebenarnya tiada langsung erti hormat seperti yang digunakan dalam lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee untuk bergurau dengan ketuanya,” katanya kepada Bernama.


Beliau terpanggil untuk menyuarakan perkara itu kerana penggunaannya kini semakin meluas dan digunakan pelbagai golongan termasuk penjawat awam kepada ketua jabatan, wakil rakyat, malah kepada menteri sejak akhir-akhir ini.


Menurutnya, lebih manis atau berbudi bahasa sekiranya panggilan itu ditukarkan dengan menggunakan panggilan Tuan untuk ketua lelaki atau Puan untuk wanita.


Presiden PPBMM Prof Madya Hashim Othman turut menyokong perkara itu dengan meminta masyarakat Malaysia tidak menggunakan panggilan bos kepada ketua atau orang atasan bagi membuktikan rasa hormat dan ikhlas kepada individu berkenaan.


Katanya, perkataan bos lebih sesuai digunakan sekiranya seseorang ingin memperkenalkan ketua mereka atau seseorang yang dihormati kepada orang lain.


PPBMM berada di China untuk menghadiri Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu di Beijing Laurel Hoteli. - Bernama 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Rakan Blogger