5 PRINSIP MAQASID SYARIAH DALAM TADBIR URUS
1. Menjaga Agama
Dalam konteks
Malaysia, memelihara Agama (ad-din) bermakna untuk mengelakkan apa-apa yang
mungkin melanggar dan memusnahkan asas-asas, yang termasuk mempertahankan
negara dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh
diamalkan secara man dan harmoni sebagaimana yang termaktub di dalam
Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai pemerintah, menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama di tempat yang teratas. Pemeliharaan akidah umat Islam adalah perkara utama yang patut diberi perhatian agar ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT dan RasulNya menjadi keutamaan, serta ketaatan kepada pemimpin turut dititikberatkan.
2. Menjaga
Nyawa
Memelihara
nyawa (hifz an-nafs) adalah memelihara maruah, persaudaraan dan kesaksamaan
sosial, keadilan, keselamatan hidup, harta dan maruah, pemerintahan yang baik,
mengurangkan kadar kemiskinan dan memnuhi keperluan pekerjaan, pengagihan
saksama pendapatan dan kekayaan, perkahwinan dan kehidupan keluarga yang
stabil, perpaduan sosial dan pengurangan jumlah jenayah serta keamanan dan
kestabilan.
Sebagai
pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan mengelakkan pertumpahan darah dengan
jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan
menghadapi kemusnahan, manakala ketenteraman dan keamanan pula akan hilang.
3. Menjaga Akal
Pemeliharaan
akal ertinya memberi perlindungan kepada akal manusia dari apa-apa yang akan
merosakkan. Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu
pengetahuan yang bermanfaat. Semua unsur-unsur yang menjurus pada kehilangan
dan merosakkan akal serta pemikiran seperti arak, dadah serta filem yang
merosakkan, sudah semestinya dibanteras dan dihalang dengan segera.
Selain itu,
penyediaan infrastuktur dan system pendidikan yang holistic serta terbaik
menjadi tanggungjawab kerajaan bagi membolehkan setiap rakyat mendapat
pendidikan sempurna. Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan asas untuk mencapai
kemajuan dan mewujudkan umat yang bertamadun. Dalam menghadapi cabaran
globalisasi, faktor ilmu bersepadu, kemajuan sains dan teknologi sewajarnya
menjadi focus bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang bukan sahaja mempunyai
ilmu dan ketrampilan tetapi juga memiliki nilai-nilai murni yang sifatnya
menyumbang terhadap pembangunan negara, bangsa dan manusia sejagat.
4. Menjaga
Keturunan
Konsep
memelihara keturunan melibatkan perlindungan dan pemeliharaan keturunan. Ia
adalah penting untuk membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan berkesan.
Keturunan wajib dipelihara demi menjaga system sosial dalam masyarakat.
Apabila
keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi agama dan tabi’ie manusia seperti
penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya, maka struktur sosial
akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh jalur keturunan yang suci
serta merosakkan maruah agama, bangsa dan negara.
5. Menjaga
Harta
Memelihara
harta bermakna melindungi kekayaan masyarakat daripada kehancuran dan dari
peralihan harta ke tangan orang lain dengan cara yang tidak sah termasuk
larangan terhadap ketidakadilan, menafikan hak dan sebagainya. Sebagai
pemerintah wajib memelihara dan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan
riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, cetak rompak, menipu hak
intelek, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau
perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan.
Pembangunan
ekonomi ini boleh dilakukan melalui pengukuhan sumber manusia, pendidikan,
kemajuan teknologi, etika kerja, menggubal dasar-dasar kewangan dan fiscal yang
betul untuk mempercepatkan pembangunan, akses kepada modal melalui pembiayaan
mikro kepada golongan miskin, serta memberi pekerjaan dan peluang pekerjaan.
Sumber : Portal Rasmi JAKIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan