Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pada tahun 1980-an bukan atas dasar mahukan pelaburan dan pemindahan teknologi semata- mata tetapi juga nilai hidup dan budaya.
Kata Dr. Mahathir, ramai orang mengkritik beliau ketika memperkenalkan dasar itu dan meng­anggapnya sebagai mengarut.
“Tetapi orang timur ada nilai, berbeza dengan barat yang nilai mereka sudah runtuh.
“Kejayaan Jepun membina semula negara terletak pada etika kerja dan perasaan malu jika mereka tidak berjaya,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jepun di sini malam ini.
Makan malam itu sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun bermula hari ini.
Kira-kira 250 rakyat Malaysia hadir pada majlis itu yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Dr. Mahathir menegaskan, orang Jepun akan rasa malu jika menghasilkan produk yang tidak berkualiti.
“Rasa malu mendorong mereka melakukan yang terbaik. Di Malaysia kita tidak merasa malu hasilkan produk yang tidak berkualiti,” katanya.
Katanya, rakyat Malaysia sekadar mahu menghabiskan kerja yang diberikan tanpa memikirkan ia berkualiti atau tidak.
Sebab itu, kata Dr. Mahathir, untuk mencapai kejayaan dan untuk menjadi Malaysia maju seperti Jepun, rasa malu perlu menjadi budaya rakyat Malaysia.
Katanya, atas prinsip, etika dan nilai tersebut Jepun mampu bangkit daripada sebuah negara yang musnah akibat perang menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. – UTUSAN