TOKYO - Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Malaysia akan berjaya seperti
Jepun sekiranya rakyat Malaysia memiliki etika kerja, pemikiran dan sistem
nilai seperti orang Jepun serta mempunyai perasaan malu jika mereka gagal
melaksanakan tanggungjawab atau melakukan dengan baik apa jua tugas yang
dihadapi.
Perdana Menteri Malaysia itu berkata, bila Dasar Pandang ke Timur
pertama kali digubal ketika beliau menjadi perdana menteri pada era 80an, ia
bukan setakat menarik pelaburan dari Jepun atau datang belajar di negara ini.
"Ia mengenai soal mempelajari etika kerja orang Jepun, perasaan
malu rakyat Jepun bila mereka gagal melaksanakan tugas yang mereka telah
janjikan," katanya pada majlis makan malam dengan rakyat Malaysia yang
tinggal dan belajar di Jepun, di sini Ahad malam.
Dr Mahathir berada di kota raya ini untuk lawatan kerja tiga hari yang
termasuk menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia,
atau Persidangan Nikkei.
Ini merupakan lawatan beliau yang pertama selepas menjadi perdana
menteri ketujuh Malaysia bulan lalu berikutan kemenangan besar dalam pilihan
raya umum.
Perdana menteri juga menceritakan kepada kira-kira 250 hadirin majlis
itu mengenai langkah yang dilaksanakan kerajaan untuk memulihkan Malaysia dari
kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu, yang termasuk membebankan
negara dengan hutang kira-kira RM1 trilion.
Menjelaskan selanjutnya tentang apa yang beliau sanjungi tentang Jepun,
Dr Mahathir mengimbau peristiwa yang beliau lihat di Jepun bila beliau pertama
kali datang ke negara ini pada 1961 - sebuah negara yang musnah akibat perang.
"Saya lihat orang Jepun bekerja, dan bekerja keras untuk membina
semula negara mereka, dan jelas sekali, hasilnya Jepun dengan cepat muncul
menjadi sebuah daripada ekonomi terbesar dunia. Dari sebuah negara yang tewas
dan musnah, Jepun mampu membangun semula pada kadar yang pantas dan berkesan.
"Saya dapati mengapa rakyat Jepun berjaya membina semula negara
mereka; ini disebabkan etika kerja dan sistem nilai mereka. Jika ada punya cara
bekerja yang salah, jika anda tidak bekerja keras dan anda tidak bangga dengan
hasil kerja anda, anda akan gagal," katanya.
Beliau berkata orang Jepun menaruh rasa bangga menghasilkan produk
berkualiti tinggi yang mampu bersaing dengan berjaya bersama produk dihasilkan
negara-negara lain.
"Tetapi di Malaysia kita tidak mempunyai sistem nilai ini, kita
tidak merasa malu jika kita menghasilkan produk tidak berkualiti... sama ada
anda buat itu bagus atau tidak, tidak menjadi hal," katanya.
Menyentuh hal-hal lain, Dr Mahathir berkata kerajaan menghargai sikap
amal rakyat Malaysia membantu kerajaan mengurangkan paras hutang menerusi
tabung khas yang ditubuhkan untuk tujuan itu.
Kerajaan akan melakukan usaha terbaik untuk menyelesaikan situasi
kewangan tanpa menjejaskan negara, kata beliau, dan menambah ini akan mengambil
masa untuk membetulkan semula keadaan oleh kerana ia bukan tugas mudah.
Tidak seperti dahulu, kata beliau, wang tidak akan disalurkan dengan
sewenangnya kepada setiap orang dan bantuan kewangan akan diberikan kepada
mereka yang layak.
"Kita tidak mahu mewarisi tabiat buruk (kerajaan terdahulu),"
katanya dan menambah tidak ada ruang untuk kerja 'main-main' termasuk sektor
swasta di bawah pentadbirannya.
Dr Mahathir menggariskan bahawa usaha menghapus rasuah diberi keutamaan
kerajaannya.
"Jika rasuah
dihapuskan, kita boleh jimat kira-kira 30 peratus wang kita yang boleh
digunakan untuk banyak perkara lain," katanya. - Bernama
Sumber : Sinar Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan