Ahad, 6 Jun 2010

Pengurusan Kewangan

Makin ramai guna kad kredit isi minyak
Sumber: Berita Harian, 30/06/2008

PENGGUNAAN kad kredit untuk mengisi minyak berjalan seperti biasa di stesen minyak sekitar Kuala Lumpur - Gambar Mohd Yusni Ariffin

Pembelian petrol secara hutang di luar bandar naik 30 peratus


KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit untuk urusan pembelian minyak di stesen minyak seluruh negara meningkat antara 15 hingga 20 peratus sejak kerajaan melakukan penstrukturan semula subsidi minyak awal bulan ini.


Penggunaan kad kredit paling ketara adalah bagi urusan pembelian diesel yang kini mencecah 95 peratus, berbanding sebelum ini hanya 80 peratus. Kebanyakan pengguna diesel adalah kenderaan perdagangan.


Berkuat kuasa 4 Jun lalu, harga petrol dan diesel mencatatkan kenaikan masing-masing 40.6 peratus dan 63.3 peratus.


Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Abdul Wahid Bidin, berkata pembelian petrol menggunakan kad kredit pula meningkat kepada 75 peratus daripada 55 peratus.


Malah, katanya penduduk kawasan luar bandar yang sebelum ini jarang menggunakan kad kredit mencatat peningkatan hingga 30 peratus.


Beliau berkata, kad kredit digunakan kerana mudah dimiliki berikutan syarat kelayakan yang minimum seperti hanya perlu berpendapatan RM1,500.


"Antara sebab peningkatan penggunaan ini ialah pengguna tidak perlu membayar tunai, sebaliknya boleh dijelaskan sebelum tarikh akhir pembayaran kad kredit.


"Selain itu, mereka boleh terus mengisi minyak tanpa perlu ke kaunter yang kadang-kadang terpaksa beratur, terutama apabila ramai pelanggan.


Abdul Wahid berkata, ramai menyangka pengusaha stesen minyak mendapat untung apabila pelanggan membayar menggunakan kad kredit, sedangkan pihak sebenar yang mengaut keuntungan adalah bank.


Katanya, pengusaha terpaksa membayar komisen satu peratus kepada bank, iaitu jika pelanggan membayar RM100, pengusaha mendapat RM99 dan RM1 dibayar kepada bank.


"Satu peratus kelihatan kecil, tetapi katakan satu peratus daripada sejuta liter yang dijual sebulan, iaitu sebanyak 10,000 liter. Ini bermakna caj yang dibayar kepada bank adalah RM27,000," katanya.


Selain itu, katanya pengusaha terpaksa menanggung kos kertas cetakan kad kredit. Satu gulung hanya RM6, tetapi peningkatan bilangan pelanggan menggunakan kad kredit menyebabkan ada pengusaha yang menanggung hingga RM700 sebulan hanya untuk kos kertas.


Sementara itu Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu, mengakui kad kredit digunakan secara meluas kerana memudahkan pengguna ketika berurusan di stesen minyak.


Katanya, kad kredit digunakan di seluruh dunia dan adalah sebahagian ciri kemajuan di sesebuah negara.


"Pengguna memang mempunyai hak untuk membeli apa saja, tetapi jika terperangkap dalam bebanan hutang, janganlah menangis. Paling baik adalah wang tunai tetapi tidak akan timbul masalah jika digunakan secara bijak," katanya.


Beliau berkata, pengguna hanya perlu memperuntukkan sebahagian wang untuk bayaran minyak kerana sudah tahu penggunaan purata minyak setiap bulan.


 
Rancang pola perbelanjaan hadapi kenaikan kos sara hidup

TIADA pilihan selain berjimat! Walaupun pahit, itulah kenyataan yang terpaksa ditelan oleh masyarakat pengguna. Sememangnya, kenaikan kos sara hidup tidak lagi dapat dielakkan lebih-lebih lagi apabila kerajaan menaikkan harga bahan api mulai 5 Jun lalu.


Pengguna juga berdepan dengan kemungkinan terpaksa menanggung kenaikan harga bahan api yang lebih tinggi sekiranya kerajaan membuat keputusan menarik semula semua subsidi bahan api.


Setiausaha Agong Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha'ani Abdullah, berkata pengguna negara ini perlu sedar bahawa petroleum adalah sumber yang bukan boleh diperbaharui.


Kerajaan, kata beliau, perlu merancang penggunaan yang berhemah supaya pengurusan sumber ini dapat bertahan lebih lama.


"Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport harus bersedia menghadapi 2014, negara dijangka perlu mengimport bagi menampung keperluan dan pada 2020-an, kita dijangka menjadi pengimport sepenuhnya keperluan petroleum," katanya.


Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan mesti memenuhi janji untuk mengurangkan beban kos sara hidup ke atas pengguna.


Kerajaan, tegasnya perlu memastikan perbelanjaan kerajaan adalah berhemah dan memenuhi ketelusan serta pertanggungjawaban awam supaya lebih peruntukan dapat diagihkan ke sektor sosial dan ekonomi secara cekap.


"Bayaran rebat tunai bahan api tidak harus menjadi tindakan bantuan kerajaan kepada rakyat. Kerajaan juga perlu menyelaraskan tarif dan kadar perkhidmatan telekomunikasi, air, cukai jalan, tambang pengangkutan awam, kesihatan, pendidikan dan perumahan di samping tarif TNB. Ini penting supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana mendapat keselesaan hidup," kata Muhammad Sha'ani.


Kerajaan sudah mula membayar subsidi minyak secara tunai kepada pemilik kenderaan.


Ketika kenaikan harga bahan api ini, Muhammad Sha'ani berkata, kerajaan harus mengarahkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengkaji semula kadar perkhidmatan kepada pengguna.


"Penyelarasan perlu dibuat supaya pengguna kecil dikenakan kadar rendah dan pengguna berpendapatan tinggi dikenakan kadar lebih serta kadar berdasarkan unit masa sesaat dan sewa bulanan dihapuskan," katanya.


Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mengarahkan semua bank mengutamakan penjadualan semula bayaran balik pinjaman atau penukaran kepada pinjaman bertempoh bagi kemudahan kad kredit dan overdraf yang bermasalah.


Kerajaan, katanya, perlu juga mengarahkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi Malaysian Building Society Bhd (MBSB) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyediakan pinjaman perumahan kepada ahlinya dengan kadar rendah atau tanpa faedah kepada golongan berpendapatan rendah.


Sebelum kenaikan terbaru harga bahan bakar, kenaikan harga barang sudah menjadikan dompet pengguna semakin kempis.


Dari awal tahun hingga pertengahan tahun, ada saja harga barang keperluan harian yang naik. Bagi mereka yang berpendapatan lumayan kenaikan ini mungkin tidak begitu dirasa.


Yang malang, mereka yang 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan bermukim di tengah bandar, semakin terpaksa 'mengikat perut' untuk meneruskan kelangsungan hidup.


"Kenaikan harga bahan bakar ini sudah tentu akan memberikan kesan besar kepada pengguna, khususnya peningkatan kepada kos pengangkutan.


"Begitu juga kenaikan harga bahan bakar ini akan memberi kesan jaringan kepada pengeluaran barang dan kos pengangkutan. Ini menyebabkan kos pengeluaran dan pengangkutan turut meningkat. Seterusnya akan menyebabkan kenaikan harga barang di pasaran," jelas Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman.


Beliau berkata, secara puratanya pengguna di Malaysia membelanjakan kira-kira 40 peratus pendapatan mereka untuk perbelanjaan makanan.


"Kenaikan harga barang kerana kenaikan harga bahan api ini tidak dapat tidak akan menyebabkan perbelanjaan mereka turut meningkat kepada sekitar 50 peratus.


"Harga makanan yang diproses akan naik kerana harga bahan mentah naik disebabkan kos pengangkutan yang meningkat. Oleh itu, restoran dan gerai akan menaikkan harga makanan," jelasnya kepada Bernama.


Justeru, tambah beliau, pengguna di negara ini terpaksa mengkaji semula pola perbelanjaan bagi menyesuaikannya dengan kenaikan kos sara hidup termasuk membuat perancangan semula kewangan dan gaya hidup.


Bagi mengurangkan kos pengangkutan, beliau berkata sudah tiba masanya untuk pengguna beralih kepada pelbagai jenis pengangkutan awam yang ada untuk ke tempat kerja atau destinasi lain.

 

 
Kad kredit kad hutang, bukan kad debit
(Petikan Rencana Utusan Malaysia 04/01/2007)

Penggunaan kad kredit antara penyumbang belanja berlebihan ini. Adakah ini didorong oleh persepsi masyarakat yang melihat kad kredit sesuatu yang mewah?


DR. RUSINAH: Sebenarnya kalau faham definisi kad kredit itu adalah kad hutang, bukan kad debit. Masalahnya sekarang promosi kad kredit menyebabkan ia berjaya mempengaruhi persepsi pasaran. Pihak pengiklan mempamerkan kad kredit sebagai gaya hidup mewah. Ini yang memakan minda. Kredit (hutang) itu telah terpadam. Kalau ada pengiklan mengatakan kad kredit itu kad hutang, mungkin tiada orang yang mahu memilikinya. Dalam masa sama, promosinya secara besar-besaran dan kita tidak boleh salahkan organisasi kewangan.


Apa yang boleh dicadangkan?


DR. RUSINAH: Bagi saya tindakan itu bergantung kepada diri sendiri. Kita mesti berpengetahuan tentang apa itu kad kredit dan apa yang ada pada kita untuk ‘membenarkan’ kita berhutang. Didik diri sendiri. Kalau kita tidak mahu mendidik diri, apa juga strategi kerajaan tidak akan berjaya.


Apa langkah terbaik menanganinya?


DR. RUSINAH: Saya fikir kerajaan perlu menghebahkan dengan kerjasama pihak media. Kalau boleh kita memberikan satu pengetahuan yang hebat tentang kad kredit ini apa kesan positif dan kesan-kesan negatifnya. Di sini perlu ada persefahaman semua pihak. Pemimpin-pemimpin politik juga perlu sentiasa mengingat dan mendidik masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan kad kredit. Golongan muda mesti menganalisis kekuatan diri terhadap ancaman-ancaman dan peluang yang ada dalam kehidupan ini. Melalui kaedah ini jika tidak dapat menangani secara total sekurang-kurangnya dapat mengalihkan pandangan hidup bahawa kad kredit bukan satu gaya hidup mewah tetapi gaya hidup berhutang yang perlu dihindarkan. Pengiklan juga boleh memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab, memberi didikan rasional kesan-kesan yang akan berlaku. Berhutang boleh tetapi dengan cara efisien contohnya membeli rumah sebagai aset, kereta sebagai keperluan ke tempat kerja atau melabur dalam amanah saham untuk masa depan.


Pada pendapat Dr. berapa gaji ideal untuk layak memohon kad kredit?


DR. RUSINAH: Terus terang saya katakan kalau bergaji RM1,000 sebulan memanglah tidak layak. RM1,500 hingga RM2,000, boleh guna kalau terdesak. Paling sesuai dan saya nampak agak stabil ialah mereka yang bergaji RM3,000. Sebenarnya ada tiga kategori pemegang kad kredit ini. Ada yang salah guna, terlebih guna dan satu lagi tidak tahu guna. Yang tidak tahu guna ini akhirnya hanya membayar caj tahunan. Yang selalu berlaku ialah salah guna hingga menjadi muflis. Yang terlebih guna pun banyak dan mereka yang tidak tahu guna adalah golongan minoriti.


Ada di antara mereka tidak mahu berusaha kuat tetapi melabur dalam pelaburan yang menjanjikan pulangan berganda dalam masa singkat?


DR. RUSINAH: Golongan muda ini mereka ada pengetahuan tetapi tiada pengalaman dan kepakaran. Tiada salahnya mereka merujuk orang yang berpengalaman. Jangan cepat terpana dan terpesona dengan tarikan- tarikan skim cepat kaya sehingga sanggup berhutang kerana kesannya jika apa yang dilaburkan itu tidak memberikan pulangan diharapkan, mereka akan lebih kecewa. Kita memang selalu mendengar orang kata, ‘‘hidup saya terdesak.’’


Tetapi terdesak yang bagaimana? Ada orang bergaji RM800 sebulan boleh hidup okey. Terdesak atau tidak ini bergantung kepada hidup bagaimana yang kita pilih. Apa pun, saya percaya ramai golongan muda pandai membuat keputusan. Yang tidak pandai ini yang menjadi masalah. Mungkin mereka merujuk kepada kawan-kawan yang menghala kepada kerosakan. Apabila tersalah haluan, kehidupan mereka selepas itu berkemungkinan mengalami kegagalan.


Kita selalu beranggapan golongan muda tidak dapat berfikir tentang diri mereka sendiri, apa yang baik dan buruk. Hakikatnya benarkah?


DR. RUSINAH: Saya percaya semua orang lebih-lebih lagi lepasan universiti tahu berfikir tetapi cara fikiran yang macam mana. Disebabkan pemikiran kita itu ada elemen- elemen pengaruh kawan-kawan dan persekitaran menyebabkan pemikiran kita menjadi keliru. Semua orang boleh berfikir tetapi untuk membentuk keyakinan diri kepada golongan muda ini kita kena beri masa. Mereka tahu berfikir tetapi bentuk pemikirannya yang penting untuk diambil kira. Kadang-kadang kita hendak menyalahkan mereka seratus peratus tidak boleh juga kerana mereka dalam keadaan kecelaruan.


Apa nasihat Dr. kepada golongan muda yang berbelanja melebihi kemampuan?

DR. RUSINAH: Mereka kena analisis diri sendiri. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, janganlah mendatangkan kesusahan kepada diri kita dan ibu bapa yang telah banyak berkorban. Kerana apabila berhutang, ia bukan sahaja akan membuat diri kita terperangkap tetapi juga ahli keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan