Sumber : Patriot
1. Saidina Ali (601 Masihi – 661 Masihi)
Tiada anak muda yang lebih hebat dalam sejarah Islam melainkan Saidina Ali R.A, iaitu sepupu dan menantu kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W. Beliau ialah kanak-kanak pertama yang memeluk Islam
dalam sejarah. Ternyata, walaupun sangatlah muda namun Saidina Ali membuktikan kepada kita semua bahawa beliau bukan calang-calang orang.
Antara pengorbanan Saidina Ali yang dikagumi oleh kita semua yang melibatkan Saidina Ali ialah ketika berusia dalam sekitar 21 tahun apabila mengorbankan dirinya untuk tidur di atas katil Rasulullah ketika Rasulullah pergi berhijrah ke Madinah.
Bahkan pada usia semuda 23 tahun, Saidina Ali sudah bertindak sebagai antara pahlawan Islam yang terkemuka dalam Perang Badar. Sudah menjadi tradisi masyarakat Arab di mana sebelum peperangan, maka setiap pihak akan menghantar beberapa orang pahlawan hebat untuk bermain senjata.
Pihak Musyrikin Quraisy diwakili oleh tiga orang pahlawan hebat mereka,Utbah bin Rabi’ah bersama adiknya,Syaibah bin Rabi’ah dan anaknya,Al-Walid bin Utbah.Dengan angkuhnya mereka mencabar tentera Islam menghantar wakil mereka untuk mencabar mereka.
Tentera Islam menyahut cabaran mereka dengan menghantar tiga wakil juga iatu Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib r.a (bapa saudara Rasulullah),Saidina Ali bin Abu Talib (sepupu Rasulullah s.a.w) dan Ubaidah bin al Haris r.a.Ketiga-tiga mereka dipilih oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
Pertarungan terbuka tiga lawan tiga pun berlaku dengan dahsyatnya sambil diperhatikan oleh kesemua tentera dari kedua-dua belah pihak.Wakil pahlawan Islam yang berjuang berpaksikan iman dan keyakinan yang tinggi menunjukkan keberanian dan kehebatan mereka bermain senjata menentang wakil pahlawan kaum Musyrikin.
Tentera Islam melaungkan takbir dengan gembiranya apabila Utbah bin Rabi’ah berjaya ditikam oleh pedang Hamzah bin Abdul Mutalib r.a,manakala Saidina Ali r.a juga berjaya membunuh dan mengalahkan Al-Walid bin Utbah.Sementara itu pula,Ubaidah bin al Haris r.a cedera teruk ketika menentang asakan yang dibuat oleh Syaibah bin Rabi’ah,namun Ubaidah berjaya membunuh Syaibah.Ubaidah yang sedang cedera parah diusung kepada Rasulullah s.a.w dan kemudian syahid menghembuskan nafas yang terakhirnya,di hadapan baginda.
Kemudian ketika berusia 25 tahun dalam Pertempuran Uhud, Ali mula menunjukkan keberaniannya sekali lagi.Ketika tentera Islam dikucar-kacirkan oleh tentera Khalid Al-Walid, banyak tentera Islam mula melarikan diri dari menjadi mangsa hayunan pedang tentera kafir. Namun, antara yang tetap setia dan utuh mempertahankan Rasulullah ialah Saidina Ali sehinggakan ada frasa mengenangkan keberanian Ali ketika itu.
“Tiada keberanian sehebat anak muda seperti mana Ali. Tiada pedang sehebat pedang Zulfaqar (Pedang Saidina Ali)."
Sesungguhnya Ali ialah bukti umur bukanlah ukuran semata-mata terhadap seseorang itu, tetapi tingkat ilmu dan amalnya!
Bercakap tentang Saidina Ali dan usia muda, saya tertarik untuk berkongsi sebuah kisah di bawah. Antara Saidina Ali ketika menjadi khalifah dan seorang lagi anak muda.
-------
Ketika Saidina Ali sedang melakukan rondaan untuk melihat bagaimana keadaan rakyatnya hidup, Saidina Ali mendapati bahawa rakyat di bawahnya telah banyak mengikuti setiap majlis ilmu di masjid-masjid di sekitar wilayah jajahannya.
Maka tertariklah Saidina Ali untuk bertemu dengan siapakah pendakwah yang sedang mengajarkan ilmu. Lalu, khalifah yang bijaksana itu pun mahu menguji setiap pendakwah di majlis ilmu yang mahu dijumpainya. Dikarangnya satu soalan:
”Apakah yang membangunkan agama, dan apakah yang meruntuhkannya?”
Maka berangkatlah Saidina Ali R.A ke setiap majlis ilmu namun tidak ditemuinya mana- mana pendakwah yang mampu menjawab soalannya sehinggakan dia bertemu dengan seorang pemuda yang hanya berusia 15 tahun, tetapi sedang mengajar ramai pengikutnya mengenai ilmu agama.
"Wahai anak muda, berani sungguh kamu mengajarkan ilmu agama, sedangkan ramai mereka yang lebih bijak, bahkan lain lebih tua dari kamu tidak mampu menjawab persoalan aku ini, lalu aku arahkan mereka berhenti mengajar. Sila jawab, apakah yang membangunkan agama, dan apakah yang meruntuhkannya?"
Pemuda berusia 15 tahun itu tersenyum mendengarkan soalan daripada Saidina Ali R.A
”Wara’ itu membangun agama, dan tamak haloba meruntuhkannya”.
Tahukah anda siapakah pemuda berusia 15 tahun itu? Beliau ialah Imam Hassan Al-Basri,seorang tabiin terkenal. Saidina Ali kagum dengan ketokohan pemuda itu dan membenarkan beliau untuk terus mengajar.
2. Alexander The Great (356 SM – 323 SM)
Kalau ditanyakan kepada saya, siapakah anak muda yang hebat dalam sejarah, pastinya saya akan memetik nama Alexander The Great yang merupakan salah seorang daripada pembina empayar terluas dalam sejarah dunia.
Untuk pengetahuan rakan-rakan semua, saya sangat mengagumi ketokohan yang dimiliki oleh anak muda itu. Sesungguhnya, Alexander bukan calang-calang anak muda. Pada usia seawal 10 tahun lagi, Alexander The Great menunjukkan ketokohan yang tidak dimiliki pada mana-mana figura ketika.
Dicatatkan dalam helaian sejarah bahawa ketika seorang pedagang daripada Thessaly menghadiahkan seekor kuda untuk Raja Philip, namun kuda itu tidak mampu dijinakkan oleh Raja Philip. Namun aneh, Alexander yang berusia 10 tahun itu berjaya menundukkan kuda yang tidak berjaya dijinakkan oleh ayahnya. Raja Philip yang menyaksikan peristiwa itu bergenang air mata lalu memeluk Alexander dan menyatakan kepadanya.
“Anakku, bila sudah dewasa nanti kau carilah sebuah kerajaan baru yang mampu mencapai cita-cita kau. Macedonia ini terlalu kecil untuk orang sehebat kau!”
Kehebatan Alexander pada usia muda tidak tamat disitu sahaja. Sebagai contoh, ketika berusia 16 tahun, ketika ayahnya Philip melancarkan ekpedisi ke atas Byzantium, dicatatkan bahawa Macedonia ketika itu dipangku tampuk pemerintahannya oleh Alexander.
Dicatatkan juga, ketika memangku jawatan ayahandanya itu, terdapatlah sebuah pemberontakan berlaku. Maka, tanpa berlengah lagi, Alexander sendiri memimpin askar untuk mematahkan serangan pemberontakan itu, meski pada usia muda 16 tahun.
Dari usia muda yang sangat hebatlah itu yang membawa kepada kejayaan demi kejayaan Alexander yang terkemudiannya meluaskan empayarnya ke serata pelusuk dunia.
3. Sultan Muhammad Al-Fateh (1432 Masihi – 1481 Masihi)
Dalam sejarah Islam, selain Saidina Ali R.A, yang harus dikenang sebagai anak muda yang mengaum dalam pentas sejarah dunia ialah Sutan Muhammad Al-Fateh. Sesungguhnya dunia mungkin tidak dapat melihat anak muda sehebat seperti Al-Fateh.
Kehebatan Al-Fateh dapat dikesan seawal usianya 11 tahun apabila beliau dikirimkan ke sebuah wilayah di bawah Uthmaniah ketika itu,iaitu Amasya untuk mentadbir wilayah itu. Sepanjang mentadbir wilayah Amasya, ayahandanya iaitu Sultan Murad turut menghantarkan ulamak-ulamak hebat untuk membantu pemerintahannya. Ulamak-ulamak hebat inilah yang kemudian mempengaruhi pemikiran Sultan Muhammad Al-Fateh.
Kemudian, ketika usia Al-Fateh memasuki dalam sekitar 12 tahun, ayahandanya Sultan Murad mengambil keputusan untuk meninggalkan takhta Turki lalu menyepikan diri di Antatolia, menghabiskan sisa-sisa hidup untuk beribadah kepada tuhan.
Dugaan pertama mendatangi Al-Fateh ketika penggal pertama memegang tampuk sultan. Dicatatkan bahawa Hungary yang sebelum ini menandatangani gencatan senjata dengan Turki telah berbuat khianat dan menggerakkan askar untuk melanggar Turki Uthmaniyah. Maka merasakan bahawa dirinya tidak layak dan tidak mampu melawan bala askar dari Hungary, maka Al-Fateh telah memanggil ayahnya untuk kembali menaiki takhta sultan dan menghalau Hungary. Namun ayahnya menolak sekaligus menaikkan kemarahan Al-Fateh lalu ditulis surat untuk ayahnya.
“Bila ayah menjadi sultan, maka datanglah dan memimpin pasukan ayah. Tapi kalau saya ialah sultan, maka saya mengarahkan ayah datang untuk memimpin pasukan saya!”
Surat Al-Fateh itu telah membuatkan ayahnya kembali ke tampuk pemerintahan semula lalu memimpin askar melawan bala askar salib dari Hungary dan kemenangan berpihak kepada tentera Turki. Direkodkan bahawa Al-Fateh menjawat tampuk kesultanan pada penggal pertama selama 3 tahun bermula daripada 1444 sehinggalah 1446 sebelum pada usia 19 tahun, beliau kembali menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya. Info tambahan, pada usia 19 tahun itu, Al-Fateh telah menguasai lebih daripada 6 bahasa!
Langkah pertama Al-Fateh sebaik sahaja bergelar sultan ketika berusia 19 tahun ialah dengan menguatkan armada laut Turki, membina sebuah kubu di Selat Bosporus bernama Rumelihissari yang sempit membolehkan Uthmaniah mempunyai kawalan penuh ke atas selat yang berhadapan dengan Konstantinopel itu. Al-Fateh juga telah mengadakan tol yang tinggi untuk setiap kapal yang melaluinya termasuklah kapal yang membawa Meriam.
Ini semua kemudiannya membawa kepada penaklukan Konstantinople pada usia beliau hanya 21 tahun, kira-kira 3 tahun sahaja daripada usia saya hari ini. Sangat menakjubkan pencapaian anak muda ini! 200 ribu askar Turki bersama dengan 320 buah kapal akhirnya menawan kota yang dijanjikan oleh nabi dalam hadisnya akan ditawan oleh sebaik-baiknya raja. Siapa sangka yang menawan kota metropolis tumpuan dunia setanding dengan Baghdad ketika itu hanyalah seorang anak muda berusia 21 tahun dan tenteranya?
4. Hang Nadim Singapura (Abad ke-13 Masihi)
Ada satu figura dalam sejarah Melayu yang menjadi lambang bahawa usia bukan ukur tingkat ilmu dan kematangan seseorang. Beliau ialah Hang Nadim, seorang anak kecil yang menjadi mangsa orang-orang dewasa yang cemburu akan kebijaksanaan yang dimilikinya walaupun usia masih mentah.
Siapa tahu, pagi yang aman dan damai di Temasik bertukar menjadi mimpi ngeri. Nelayan yang mahu turun ke laut mencari ikan. Mereka yang mahu mencari rezeki pun mula bertempiaran melarikan diri keranan serangan ikan todak menurut Sulalatus Salatin. Lantas, si raja Singapura yang bernama Sri Rana Wikrama ini pun berfikir andai sumber rezeki utama Temasik iaitu laut tidak dapat disentuh, bagaimana ekonomi Temasik mahu berjalan?
Lantas diarahnya orang-orang serta hulubalang istana agar berdiri di hadapan pantai untuk berbentengkan betis. Buah akal raja Singapura ketika itu akhirnya mengundang padah. Pantai temasik bergelimpangan jasad tidak bernyawa dan darah sudah tentu membasahkan pantai yang putih. Ketika itu baik rajanya, mahupun para bangsawan sudah hilang akal untuk menyelamatkan Singapura.
Tiba-tiba muncul seorang penyelamat. Siapa tahu Hang Nadim, seorang kanak-kanak kecil yang mempunyai akal fikiran untuk menyelamatkan Singapura. Maka Hang Nadim pun mencadangkan agar sepanjang pantai yang diserang oleh ikan todak itu dibentengkan dengan batang pisang.
“Apakah halnya kita sekalian ini berbenteng dengan betis? Bukankah baik kita dirikan sahaja benteng batang pisang?”
Maka idea dari si kecil ini disambut riang. Todak yang menyerang akhirnya kalah pada buah akal seorang kanak-kanak naif bernama Hang Nadim. Lalu diangkatnya seluruh penduduk Singapura sebagai seorang wira.
Siapa tahu, kebijaksanaan Hang Nadim ini menimbulkan cemburu kepada penasihat istana lalu dibunuhnya budak kecil itu. Mana mungkin budak muda yang masih mentah ini punya akal mengatasi mereka.
5. Sun Ce (175 Masihi – 200 Masihi)
Dalam sejarah China, terdapat seorang penakluk yang digelar sebagai The Little Conqueror atau dalam Bahasa Melayunya bermaksud Sang Penakluk Kecil. Sejarah seorang penakluk hebat ini bermula ketika usianya baru sahaja mencecah 19 tahun. Ianya bermula ketika ayahnya Sun Jin yang ketika itu berkhidmat di bawah salah satu warlord China pada zaman kejatuhan Dinasti Han telah mati ketika berperang dengan salah satu lagi warlod China, iaitu Liu Bao di bawah arahan Yuan Shao.
Dengan kemampuan mengumpulkan askar dan pengikut, maka Sun Ce pun pergi menghadap Yuan Shao yang merupakan ketua kepada ayahnya. Kagum dengan kebolehan mengumpul pengikut yang ramai meski pada usia yang muda, maka Yuan Shao pun memberikan kembali kepada Sun Ce, unit tenteranya ayahnya yang selamat daripada pertempuran yang membuatkan ayahnya terbunuh.
Dicatatkan bahawa pada permulaan kempen Sun Ce, beliau menakluk kawasan selatan China atau dikenali juga sebagai wilayah Jiangdong. Sun Ce hanya mempunyai 1000 orang askar sahaja. Namun, berkat kepimpinan dan kehebatannya, sepanjang ekpedisi penakulan Selatan China oleh Sun Ce, dia mengumpul pengikut demi pengikut sehingga menjadi sangat ramai.
Ekpedisi tentera yang bermula dengan 1000 orang itu akhirnya membuahkan hasil. Seluruh wilayah Jiangdong di Selatan China berjaya disatukan di bawah pemerintahannya tatkala umurnya baru sahaja berumur 25 tahun. Namun malangnya, dia menjadi mangsa pembunuhan oleh musuh politiknya dan meninggal dunia pada tahun tersebut.Peranan beliau diambil alih oleh adiknya,Sun Quan yang kemudiannya menubuhkan Empayar Wu semasa era Tiga Kerajaan (Three Kingdoms) dan menjadi lawan yang sengit pada Empayar Wei dan Shu Han.
Bayangkanlah kejayaan yang mampu dicapai oleh anak muda ini kalau diberi usia yang panjang? Sebab itu sejarawan China menganggap bahawa kalau Sun Ce diberi usia yang panjang, tidak mustahil Sun Ce akan menjadi insan seterusnya yang menakluk dan menyatukan seluruh China selepas Liu Bang (pengasas Empayar Han) berbuat sedemikian 500 tahun dahulu!
-HE-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan